search
top

Indahnya Pelangi

“Macam mana mak? Terima ke tak?”

“Tak”

“Kenapa tak terima mak? Saya tak cukup kacakkah?”

“Mana la mak nak tau. Kau pegi la tanya diorang. Ni ha ade Zahidah bagi kau surat.”

Leman mengambil surat tersebut dari tangan ibunya lantas terus membukanya tanpa berlengah lagi. Leman meneliti satu persatu perkataan yang tertulis di atas surat tersebut. Dihayatinya ayat-ayat puitis dari kaca matanya tetapi tidak di mata orang lain. Maklumlah, coretan buah hati, semuanya nampak indah.

Kehadapan Abg Leman,

Maafkan Ida bang. Ida tahu kita pernah berjanji satu ketika dahulu untuk hidup bersama. Tapi, setelah Ida berfikir masak-masak, Ida rasa, cita-cita Ida lebih penting dari segalanya. Ida rasa peluang melanjutkan pelajaran ke Jepun tak patut Ida lepaskan.

“Apsal la kau nak pegi ke negara penjajah tu Ida?” ujar Leman di dalam hati.

Abang jangan la menyampuk, Ida tak abes tulis lagi ni.

“Eh, tau-tau je aku nak menyampuk”

Ida sebenarnya tertarik dengan Dasar Pandang ke Timur yang diilhamkan oleh Perdana Menteri kita sekarang, Dr Mahathir. Ida berpendapat sangat penting untuk kita mempelajari budaya kerja di sana dan diaplikasikan di negara kita. Kalau abang nak tau, orang-orang sana memang sangat rajin bekerja. Jadi peluang untuk ke sana memang sudah menjadi impian Ida sejak sekolah menengah lagi. Ida harap abang dapat lupakan Ida dan cari saja la orang lain. ramai lagi yang lebih cantik dari Ida (Ida cantik ke? :D ). lagi satu, Ida juga berharap agar abang berubah. Rajin-rajin la carik kerja. Macam mana nak bagi makan anak orang kalau menganggur..

Sekian, salam sayang

Yang Mengejar Cita-cita,

Zahidah Awang

Ayat terakhir Zahidah bagaikan duri yang tertancap jauh ke teras dalam hatinya. Sungguh sakit dan menyakitkan anggota tubuhnya yang lain. “Nak buat macam mana Ida, abang bukan pandai macam Ida. SRP pun tak lepas.” Kekesalan Leman jelas terbayang melalui wajah dan kata-katanya. “Hidup ini sudah tiada makna lagi kalau bukan kau yang mendampingiku Ida.” Tambah Leman seorang diri. Ternyata kegagalan cinta yang terputus di pertengahan jalan amat mengecewakan Leman. Manakan tidak, buih-buih rindu yang dipintal bersama menjadi awanan cinta, kini jatuh berguguran bersama gerimis duka. Sia-sia. Tidak bermakna lagi.

Sejak hari itu, Leman seakan-akan tidak bernyawa lagi. Hidupnya sudah hilang bersama gerimis yang jatuh ke bumi.

“Bangun la Leman. Dah tengahari dah ni. Mana tak gelapnya kubur bapak kau, Subuh pun tak semayang.”

“Ala, mak doa la untuk bapak. Man tengah kecewa ni, mak ape tau.”

“bertuah punya budak, macam ni kau cakap ngan mak kau. Aku backhand kang sesia je hidup ni kang.”

“Aik? Bila masa pulak mak buleh cakap orang putih ni?”

“Aku baru tengok kamus pagi tadi. Kau ape tau? SRP pun tak lepas. Dah, bangun. Aku dah buat sarapan.”

“Ok, Ok Man bangun la ni.”

Begitu la suasana di rumah Leman dan Mak Jah hampir setiap hari. Leman semakin hari semakin malas. Dan seakan-akan tidak mahu lagi melihat ke hadapan. Setiap detik yang berlalu, bibirnya tidak berhenti menyebut nama Zahidah. Nama Zahidah sudah seakan-akan menjadik zikir hariannya.

Mak Jah pula hanya mampu bersabar dengan karenah anak tunggalnya itu. Kadang-kadang, terlepas juga kata-kata yang menggambarkan perasaannya. Namun, itu tidak bermakna Mak Jah tidak sayangkan satu-satunya anaknya itu. Jauh di sudut hati Mak Jah, dia sangat ingin melihat anaknya berubah, dan bekerja sama seperti anak muda lain di kampungnya.

Suatu hari, Mak Jah memanggil Leman untuk memberitahu suatu perkara yang sangat penting, yang diharap mampu mengubah hidup Leman. Namun, mampukah Leman mengubah hidupnya setelah menerima tamparan yang hebat dalam hidupnya?

“Mak rasa dah tak sanggup tengok kau macam ni Leman. Asalnya, mak ingat nak la biar kau kerja yang up-up sikit. Tapi kau pun macam malas nak cari kerja je, jadi mak nak bagitau kau satu rahsia.”

“Rahsia apa mak?”

“Sebenarnya, tanah kat hujung kampung tu, tanah ayah kau. Dulu ayah kau ngan Pak Kasim la sama-sama bukak tanah tu. Diorang bukak kawasan penternakan kambing kat situ.”

“Oooo, jadi, kandang kambing hujung kampung tu, ayah punya la?”

“Haah. Jadi, memandangkan kau pun takde kerja, elok kau pegi kerja kat sana je. Pegi jumpa Pak Kasim.”

“ Malas la mak…”

“Jangan malas-malas. Tolong la berbakti kat ayah kau. Mak pun tak tau sampai bila lagi nak hidup. Mak pun bukan nak tongkat dunia. Sampai masa, ku pergi juaaa, chewaaahhh.”

“Ok la mak. Kalau itu permintaan mak, Leman akan turutkan.

Leman memulakan kerja menternak kambing keesokan harinya. Pada mulanya, dia memang tidak begitu serius dalam bekerja, tetapi, apabila hampir setiap hari ditanya oleh ibunya, “Macam mana kerja hari ni? Bersungguh-sungguh tak? Produktif tak hari ni?” akhirnya, semakin hari Leman semakin rajin supaya dapat memberi jawapan yang memuaskan hati ibunya tanpa menipu.

“Dah masuk Zuhur, jom la solat dulu,” Pak Kasim mengajak Leman ke surau berdekatan untuk bersolat Zuhur. Mungkin itu merupakan faktor yang menjadikan Leman semakin peka terhadap solat. Suatu hari, semasa berjalan pulang dari surau selepas solat Zuhur untuk kembali bekerja, berlaku lah perbualan antara Leman dan Pak Kasim.

“Siapa Ida tu Leman? Pak Cik dengar kamu selalu sangat sebut nama dia sorang-sorang.”

“Oh, Zahidah namanya, pakcik. Anak Awang Lembu. Dulu kami dah pernah berjanji nak hidup bersama. Tapi, sekarang, dia dah ke Jepun sambung belajar. Dia mintak saya lupakan dia. Tapi saya masih tak mampu lupakan dia. Tu yang asyik nak sebut je nama dia tu.”

“Nak dengar kisah pakcik tak?”

“Boleh jugak.”

“Dulu, pakcik pun macam kau jugak. Ada suka kat sorang ni. Tapi, last-last, dia dah kahwin dengan sepupu pakcik sendiri, dan pakcik hanya tahu ketika hari diorang bernikah. Bila tahu je, pakcik terus lari ke rumah dan kunci diri dalam bilik. Mak pakcik sedar dan suruh pakcik keluar. Dia risau pakcik buat benda yang tak sepatutnya. Masa tu, pakcik dah pegang garfu dah kat tangan ni, dah ready nak cucuk mata. Pastu…”

“Ni cerita Kasim Selamat ni pakcik. Saya pun tengok cerita ni dulu. Dah tau la ending dia.”

“Ye ke? kebetulan je kot cerita hampir sama. Nama pun dah lebih kurang. Tapi ni ending lain. Pakcik sambung. Tiba-tiba, pakcik nampak ayat Quran tertampal di dinding bilik pakcik. Dan memang pakcik yang tulis sendiri ayat tu dan tampal di situ. Ayat dari surah Al-Baqarah ayat 216 yang maksudnya, Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” Masa tu, baru la pakcik sedar yang setiap perkara yang berlaku itu ada hikmahnya. Alhamdulillah, lepas tu, pakcik bertemu dengan jodoh pakcik dan bahagia sampai sekarang. Tu la, mak cik kau tu ha.”

“Betul jugak cakap pakcik. Mungkin ada yang lebih baik untuk saya. Mulai hari ni, saya akan cuba lupakan Ida dan lebih tekun bekerja.”

“Baguslah kalau macam tu. Arwah ayah kau mesti bangga dengan Leman yang sekarang.”

Mereka mula menyambung kerja. Leman kelihatan semakin bersemangat dengan azam yang baru untuk melupakan kekasih lamanya dan meningkatkan produktiviti. Dari jauh kelihatan seorang gadis menuju ke arah mereka. Jalannya santun, perlahan dan beralun sekali dengan bakul tersangkut di lengan. Dari jauh sudah nampak keayuannya. Semakin dekat, semakin jelas kejelitaan wajah persis wanita bangsawan melayu zaman dahulu kala.

“Makan la dulu ayah, Bang Leman.” Pelawa gadis tersebut yang tidak syak lagi, anak Pak Kasim. Dia terus tunduk dan berlalu begitu sahaja. Sungguh tertib dan sopan sekali pekerti yang meresap ke dalam perwatakan gadis ini, melambangkan didikan sempurna dari rumah yang diberikan oleh ibu bapanya.

“Itu anak pakcik. Namanya Izzatul Iman.”

“Wah, pakcik. Tahun 80-an ni pun ada jugak nama macam tu?”

“Pakcik ni kan mempunyai pemikiran yang merentasi zaman.” Mereka berdua ketawa serentak mengiringi jenaka bersahaja Pak Kasim.

**************************************************

Kini, tahun 2018 hampir melabuhkan tirai. Sudah lebih 30 tahun berlalu selepas peristiwa pinangan Leman ditolak. Kini, dia boleh tersenyum dengan hasil titik peluhnya. Hasil ternakan kambingnya kini bukan sahaja di pasarkan ke seluruh negara, tetapi juga di luar negara. Syarikat Leman’s Frozen juga merupakan pengeluar utama daging halal di Malaysia dan rantau Asia Tenggara, serta Jepun dan Korea Selatan. Syarikat ini juga dalam usaha untuk menembusi pasaran di Eropah dan Afrika.

Zahidah, kini bergelar professor dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa. Cabang ilmu yang jarang-jarang dikuasai oleh golongan wanita. Dia sudah bertemu dengan jodohnya, dan memiliki anak-anak sepintarnya. Pak Kasim dan Mak Jah pula sudah pergi menghadap Illahi beberapa tahun lepas. Leman juga, kini sudah berkira-kira untuk berehat dan menyerahkan pengurusan perniagaan dan penternakan kepada 7 orang anaknya.

Kini, Leman sedar bahawa gerimis duka tadi rupa-rupanya tidak jatuh ke bumi begitu sahaja, kerana ia telah disinari dengan harapan, yang telah menjelmakan pelangi kebahagiaan. Kebahagiaan yang dikongsi bersama isterinya yang tercinta, Izzatul Iman.

~Jangan takut untuk jatuh, kerana kita mampu bangkit dengan lebih kuat~

15 Responses to “Indahnya Pelangi”

  1. Fidz says:

    ida? o’ooo… huhuhu

    wey, ko memang penulis yang berjaya..
    ko kuarkan novel, bagi free kat aku beb? huhu

    ~Allah adalah sebaik-baik perancang~

    Current score: 0
  2. phare says:

    hehe~ best2..suke aa ayat mak dier..huhu.lawak tul~Pak Kasim n Mak Jah ek? huu~~bleh pergi jauh nih dlm bdg penulisan~ go go!

    Current score: 1
  3. halmialwi says:

    mak aiiiiiiiiiii~~~
    makin bertenaga dan penuh humourus dlm penceritaan la..best dow napi..ko pandai medampingi hati2 pembaca mcm aku..
    must ko kunci bilik en time nk tulis nih..heh
    slmt menmpuh winter bro

    Current score: 0
  4. HANIF says:

    ko buat ape dlm bilik sorg2,napi?

    Current score: 1
  5. raherosman says:

    napi..aku tergelak kt msia bace cite ko..napi..wat la novel ke,buku ke…aku jumpe pts nex week..x pon sasbadi pon ok gk..satu abad menemani pelajar..

    Current score: 0
  6. ammare says:

    raher..! behave2

    Current score: 0
  7. raherosman says:

    ammare..hang wat apaq kat sini haq?hang x piaq baliaq kedah kaq?

    Current score: 0
  8. jtenengineering says:

    selagi hidup berfikiran positif. .selagi itu ada peluang utk berjaya… allah sediakan jalan yang baik dan buruk… takdir ditangan kita sendiri utk memilih mana yang mahu kita tempuh… kenapa salahkan orang lain kalau gagal ttp rasa bangga diri klu berjaya?. .kedua2 ada dalam fikiran yang menentukan masa depan

    Current score: 0
  9. paknap says:

    hehe..terbaik napi!!
    best2..

    izzatul iman ek?? bertuah leman~

    Current score: 0
  10. cool la napi huhu…mcm ni leh bertanding dgn penulis KCB…die bwk kesah khdpan kat mesir, so ubah sket bwk kesah kehidupan kat korea pulak….nnti sure ramai nak dtg korea heh gogo napi !! hehe

    Current score: 0
  11. kamil says:

    hikayat kucing belang sudah mula menunjukkan belangnya ~~

    Current score: 0
  12. ibnsyareef83 says:

    izzatul iman ekk….macam kenal je name2..sjak bl plak ko ni pandai menulis ek????

    Current score: 0
  13. napirago says:

    izzatul iman la plak…hari tu dah iffah hurriyah..pasni syaza nazirah plak…pastu dia irdina..hehe

    Current score: 0
  14. kak long says:

    zzahidah? macam kenal gak je nama tu…ada ape2 ke dengan budak trenngganu tu..

    Current score: 0
  15. napirago says:

    itu adik bongsu kita la tu…

    Current score: 0

Leave a Reply

Spam Protection by WP-SpamFree

top