search
top

Kurniakan Aku Sahabat…

Aku hanya memerhati dari balik cermin kereta. Ku lihat gelagat abang yang sedang bersimpuh di samping pusara sahabatnya, Abang Said. Wajahnya tenang menadah tangan memohon doa. Mulutnya kelihatan terkumat-kamit. Selang beberapa ketika, abang mengusap nisan yang tegak di atas pusara itu lantas bangun dan terus menuju ke kereta.

“Asrama tutup pukul berapa ni?” tanya abang.

“Pukul 6. Sempat lagi ni.” Jawabku.

“Nak berhenti makan mana-mana dulu tak?”

“Boleh jugak.”

Suasana sepi seketika. Abang memulakan pemanduannya dengan basmalah. Wajahnya masih tenang seperti tadi. Kereta Honda Accord milik abang mula bergerak meninggalkan suasana hening tanah perkuburan islam Taman Kemboja. Aku terus memerhatikan abang dengan seribu satu persoalan.

“Abang dengan Abang Said pernah bergaduh tak?” tiba-tiba terpacul keluar pertanyaan yang sudah lama aku pendamkan. Abang masih diam. Riak wajahnya sedikit berubah. Mungkin tidak menyangka persoalan itu keluar dari mulutku. Namun perubahan itu masih tidak menghilangkan ketenangan di wajahnya.

“Mustahil tak pernah.” Abang memulakan bicara tidak berapa lama selepas itu. “Adik-beradik pun bergaduh. Inikan pula kawan baik. Pernah tu memang pernah, cuma paling lama pun, seminggu lepas tu dah baik semula.”

“Biasanya siapa yang akan mengalah dulu?” aku mula aktif bertanya soalan.

“Kadang-kadang, abang, kadang-kadang, Abang Said. Tengoklah macam mana. Biasanya, kalau seorang datang minta maaf, yang seorang lagi akan terus maafkan dan minta maaf balik. Lepas tu, tiada lagi ungkit-mengungkit balik kesalahan dan terus kawan macam biasa.”

“Apa yang menyebabkan abang datang minta maaf kat Abang Said?”

“Bila kita dah kawan lama ngan seseorang tu, kita akan terasa janggal bila tak bertegur-sapa dengan dia. Biasanya, abang akan teringat balik kebaikan yang dia dah pernah buat kat abang. Memang sepanjang kami berkawan, Abang Said dah banyak tolong Abang. Dialah yang banyak bagi nasihat dan semangat kat abang sejak dari Universiti, sampai la dah kerja sekarang. Bila abang teringat balik semua tu, abang akan terus buang rasa marah abang pada dia.”

“Abang rasa, kalau Abang Said yang datang minta maaf, dia pun fikir begitu?”

“Abang tak pasti dan taknak tahu pun. Takut nanti hilang keikhlasan dalam bersahabat.” Jawapan abang membuatkan aku mula mengagumi persahabatan dua insan ini dan ingin mengetahui lebih dalam lagi.

“Apa yang mengikat abang dan Abang Said sampai sekarang? Jarang adik nampak orang yang bersahabat boleh kekal sampai sekarang.”

“Hmmm. Tentulah cinta kepada Allah dan Rasulnya. Bila persahabatan disandarkan kepada cinta pada Allah dan Rasulnya. InsyaAllah persahabatan tu takkan pudar. Adik kan sekolah agama. Mesti ada belajar pasal hadith kemanisan iman. Salah satu dari ciri-ciri untuk memperolehi kemanisan iman kan adalah mengasihi sesama manusia hanya kerana Allah.”

Aku hanya mengangguk tanda bersetuju.

“Ramai orang tak dapat kekalkan persahabatan sebab takde benda ni la. kadang-kadang, kita bersahabat kerana pengaruh sahabat kita yang besar. Bila hilang pengaruhnya, serta merta hilang rasa cinta pada dia. Kadang-kadang, kita suka keceriaannya. Kita fikir dia boleh menghiburkan kita. Tapi, bila dia ditimpa masalah lantas keceriaannya pudar, rasa sayang kita padanya pun pudar jugak. Cintailah sahabat kerana Allah sebab Dia yang Maha Kekal. insyaAllah persahabatan itu pun akan kekal jugak walaupun dia sudah tiada lagi.”

“Abang sedih tak bila Abang Said pergi?” tanyaku sekadar menduga, walaupun aku telah mengetahui jawapannya.

“Sedih. Tapi abang redha dengan ketentuan Allah. Mungkin itu yang terbaik. Abang rasa sangat beruntung, tapi ada juga rasa terkilan.”

“Kenapa?”

“Abang rasa beruntung dan sangat bersyukur sebab Allah dah kurniakan seorang sahabat yang terbaik untuk abang. Sebab tu abang redha Allah ambil dia dari abang. Abang sedar Allahlah yang memiliki segalanya dan berhak mengambil balik ia dari kita. Dalam masa yang sama, abang terkilan sebab dalam persahabatan yang singkat ni, abang rasa, abang masih belum dapat menjadi sahabat Abang Said yang terbaik untuknya.” Suara abang sedikit sayu mengungkapkan bicara yang penuh dengan emosi, mengundang aku turut sama merasai apa yang tersimpan jauh di sudut hatinya.

Abang terus menyambung, “Beberapa hari sebelum kemalangan tu, Abang Said pernah mintak kat abang agar kami menjadi sahabat dunia akhirat. Bila kejadian tu berlaku, Abang faham bahawa dia nak ingatkan abang supaya abang dapat mendoakan kesejahteraannya di sana. abang harap dia sedang berbahagia sekarang.” Air mata abang tidak tertahan lagi. Ku lihat matanya sudah berkaca. Aku hanya diam dan termenung, mengagumi keikhlasan sebuah persahabatan yang jarang-jarang aku temui pada zaman ini.

Selesai makan, abang terus menghantar aku pulang ke asrama. Abang melambai dari dalam kereta. Aku membalas lambaian itu dengan azam menjadi sahabat seikhlas abang, agar bisa ditemukan dengan teman setulus Abang Said.

~Ukhuwah Itu Indah, Bila Bertemu dan Berpisah kerana Allah~

7 Responses to “Kurniakan Aku Sahabat…”

  1. ammare says:

    agaknya dgn sahabat lbih byk kebaikan yg dilakukannya pd kita berbanding keburukan.

    terima kasih Pi!

    Current score: 0
  2. halmialwi says:

    thanx pi.sadis tp penuh pengajaran.naiseda!

    Current score: 0
  3. kauthar says:

    entry yg bagus..nmpk bersahaja tp penuh dgn makna..teringat kawan baik di sek dl..

    Current score: 0
  4. raher osman says:

    aku kan mencuba jadi seperti abang..thnx pi..nice entry^^

    Current score: 0
  5. adibzainal says:

    wah..kawan sahabat teman..hit ni

    Current score: 0
  6. fidz says:

    weih, ko ke yang buat citer kat atas tu..leh jadi pnulis..

    Current score: 0
  7. ainayatim says:

    waaaaa…touching nye..best2. akan berusaha jadi kwn yg baik gak ;)

    Current score: 0

Leave a Reply

Spam Protection by WP-SpamFree

top