Matahari Yang Dijanjikan
naib johan cerpen Demi Al-Aqsa 2009…
Aku masih termenung di jendela rumah. Di hadapanku terbentang luas sawah padi yang kian kelihatan kekuningan. “Padi juga ada musim-musimnya”, desis hatiku kosong. Mataku perlahan beralih mencapai satu persatu objek di hadapannya. Nun jauh di hujung sana, di balik gunung-ganang, ku lihat sang suria mula berlabuh di ufuk barat menandakan satu hari lagi yang bakal berakhir, dan malam menanti dengan penuh kegelapan. Fikiranku semakin jauh melayang, merentasi jarak dan waktu.
Waktu subuh tadi, kebetulan aku terjaga awal. Aku mengambil kesempatan yang ada untuk melakukan solat malam. Waktu subuh, langit masih gelap. Kelibat matahari masih belum kelihatan. Namun, di sebalik matahari yang belum kelihatan, aku yakin, semua insan percaya ia pasti akan terbit. Buktinya, masing-masing sudah merancang apa yang akan dilakukan hari ini.
Sekitar 1400 tahun yang lampau, Rasulullah bersabda, “Solat di masjidil Haram bersamaan 100,000 solat, bersolat di masjidku bersamaan dengan 1000 solat, dan bersolat di masjid al-Aqsa bersamaan dengan 500 solat”. Aneh. Mungkin itu yang mampu aku ungkapkan. Islam masih belum sampai ke sana, tapi Rasulullah telah menjanjikan 500 pahala solat bagi sesiapa yang bersolat di masjid Al-Aqsa. Aku percaya masih ramai umat islam yang belum sampai ke sana ketika itu. Tapi mereka yakin bahawa satu hari nanti, mereka akan bersolat juga di sana.
Manusia yakin merancang hari seawal waktu subuh kerana yakin, matahari akan terbit juga. Begitu juga umat islam ketika itu. Mereka yakin mampu menawan Baitul Maqdis walaupun masih belum nampak tanda-tanda islam akan sampai ke sana pada waktu itu kerana mereka percaya kepada janji Allah dan Rasul-Nya.
Pagi sudah menjelma seperti yang dijangka. Insan sudah mula melaksanakan apa yang dirancang. Ibu dan ayah juga tidak ketinggalan. Kedua-duanya sudah mula turun kesawah. Bagi yang berkebun, sudah mula menunggang motorsikal sambil membawa cangkul dan parang untuk ke kebun. Tidak kurang juga yang melepak di kedai kopi. Apa nak buat kalau sudah memang itu yang dirancang sejak subuh tadi.
Sekitar 638 Masihi, Saidina Umar Al-Khattab, khalifah islam ketika itu bersama tentera islam telah berjaya menawan Baitul Maqdis di bawah jajahan Rom. Segala yang dirancang sudah berhasil. Umat islam kini boleh bebas bersolat di masjid Al-Aqsa. Ya, seperti yang dirancang. Tapi bukan pada zaman Umar, sebaliknya sejak zaman Rasulullah lagi. Janji Allah dan Rasul-Nya nyata tak pernah bercanggah dan tidak juga mengecewakan.
Matahari sudah mula meninggi menandakan sudah sampai waktu tengahari. Ayah dan ibu balik sebentar ke rumah untuk berehat, makan, dan bersolat zuhur. Begitu juga dengan mereka yang bekerja di kebun. Sepeninggalan mereka banyak perkara yang berlaku. Burung-burung nakal yang menyedari ketiadaan ibu dan ayah mula “mencuri” padi yang ditinggalkan sementara. Bagi yang berkebun, ketiadaan mereka di kebun merupakan “rahmat” kepada kanak-kanak yang suka “makan buah-buahan secara percuma” di kebun mereka.
Umat islam bertambah ramai dari hari ke hari. Namun ia telah menjadikan mereka leka dengan perancangan musuh. Kelekaan itu telah menyebabkan satu persatu bumi umat islam ditawan. Tentera Monggol berjaya menawan Baghdad dan membunuh jutaan umat islam disana. Di satu sudut yang lain, tentera salib terus berusaha untuk menawan kembali Baitul Maqdis dan pada tahun 1099, mereka berjaya melakukannya.
Ibu dan ayah kembali ke sawah setelah solat zuhur. Begitu juga dengan mereka yang meninggalkan kebun tadi. Burung-burung mula berterbangan apabila menyedari kehadiran ibu dan ayah. Kanak-kanak juga bertempiaran lari apabila melihat kelibat tuan kebun tempat mereka “makan buah percuma”.
Dunia islam telah melahirkan panglima yang berjaya mengembalikan maruah umat islam. Sultan Saifuddin Qutuz berjaya menewaskan tentera Monggol dan mempertahankan Mesir dari dijajah. Dan setelah 88 tahun di bawah taklukan tentera salib, Salahuddin Al-Ayubi Berjaya menyatukan umat islam menawan kembali Baitul Maqdis. Namun, tentera salib dibenarkan keluar dari Baitul Maqdis secara aman.
Tiba waktu petang, ibu dan ayah pulang ke rumah. Kedengaran juga bunyi motorsikal lalu di depan rumah menandakan mereka yang ke kebun tadi sudah pulang. Semua bersiap-siap untuk menyambut kedatangan malam. Orang-orangan tegak berdiri di sawah sebagai pengganti diri menjaga padi.
Kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniah menandakan berakhirnya sistem khilafah bagi umat islam. Kini muncullah pemimpin-pemimpin laksana orang-orangan di sawah. Tegak berdiri lagak seperti membela nasib islam. Hakikatnya hanyalah sekadar boneka yang dipergunakan oleh musuh-musuh islam untuk meratah kembali umat islam.
1917, Britain berjaya menakluk Palestin dan mengisytiharkan berakhirnya perang salib. Yahudi mula memasuki bumi Palestin sedikit demi sedikit. Akhirnya, tanggal 16 Mei 1948, negara haram Israel ditubuhkan diatas darah dan airmata umat islam di Palestin. Dan sejak itu, pengusiran dan pembunuhan umat islam berlaku hampir setiap hari.
“Samad, siap-siap nak maghrib.” Sapaan ibu membuatkan aku seakan-akan terjaga dari lamunan. Matahari sudah menghilang. Matahari yang menyinari alam sejak pagi tadi, dan juga matahari yang menyinari bumi palestin sejak zaman awal islam. Kini kedua-dua matahari itu tidak lagi kelihatan.
Aku yakin matahari akan kembali lagi esok untuk menyinari hari-hariku disini. Jauh disudut hatiku, aku juga percaya matahari akan kembali menerangi bumi Palestin dengan sinaran iman dan taqwa, bersumbukan jihad dan perjuangan. Cuma matahari yang satu ini, aku tak dapat pastikan bila terbitnya. Aku amat berharap, sebelum mataku tertutup buat selama-lamanya, aku akan dapat merasai kehangatannya di bumi palestin, “bumi yang dijanjikan”.


nice pi..
laikee it so much…
tq for such a nice piece of tazkirah…
nice cerpen ni napi. dlm sastera yg kte blaja dlu, kalau x salah dipanggil personafikasi (umpama, seperti dll)
Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (ali imran : 190)
sndri 100% punya article ke adik…kalau ye…SALUTTTTEEE…
lebih kurang la…heheheh…